KEINGINAN KAMU UNTUK BERTAJRID PADAHAL ALLAH MASIH MELETAKKAN
KAMU DALAM SUASANA ASBAB ADALAH SYAHWAT YANG SAMAR, SEBALIKNYA
KEINGINAN KAMU UNTUK BERASBAB PADAHAL ALLAH TELAH MELETAKKAN
KAMU
DALAM SUASANA TAJRID BERERTI TURUN DARI SEMANGAT DAN TINGKAT
YANG TINGGI.
Hikmat 1 menerangkan tanda orang yang bersandar kepada amal. Bergantung
kepada amal adalah sifat manusia biasa yang hidup dalam dunia ini. Dunia ini
dinamakan alam asbab. Apabila perjalanan hidup keduniaan dipandang melalui
mata ilmu atau mata akal akan dapat disaksikan kerapian susunan sistem sebab
musabab yang mempengaruhi segala kejadian. Tiap sesuatu berlaku menurut
sebab yang menyebabkan ia berlaku. Hubungan sebab dengan akibat sangat
erat. Mata akal melihat dengan jelas keberkesanan sebab dalam menentukan
akibat. Kerapian sistem sebab musabab ini membolehkan manusia mengambil
manfaat daripada anasir dan kejadian alam. Manusia dapat menentukan anasir
yang boleh memudaratkan kesihatan lalu menjauhkannya dan manusia juga
boleh menentukan anasir yang boleh menjadi ubat lalu menggunakannya.
Manusia boleh membuat ramalan cuaca, pasang surut air laut, angin, ombak,
letupan gunung berapi dan lain-lain kerana sistem yang mengawal perjalanan
anasir alam berada dalam suasana yang sangat rapi dan sempurna, membentuk
hubungan sebab dan akibat yang padu.
Allah s.w.t mengadakan sistem sebab musabab yang rapi adalah untuk
kemudahan manusia menyusun kehidupan mereka di dunia ini. Kekuatan akal
dan pancaindera manusia mampu mentadbir kehidupan yang dikaitkan dengan
perjalanan sebab musabab. Hasil daripada pemerhatian dan kajian akal itulah
lahir berbagai-bagai jenis ilmu tentang alam dan kehidupan, seperti ilmu sains,
astronomi, kedoktoran, teknologi maklumat dan sebagainya. Semua jenis ilmu
itu dibentuk berdasarkan perjalanan hukum sebab-akibat.
Kerapian sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan
hukum sebab-akibat. Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam
mendapatkan hasil (akibat). Manusia yang melihat kepada keberkesanan sebab dalam menentukan akibat serta bersandar dengannya dinamakan ahli asbab.
Sistem sebab musabab atau perjalanan hukum sebab-akibat sering membuat
manusia lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t. Mereka melakukan sesuatu dengan
penuh keyakinan bahawa akibat akan lahir daripada sebab, seolah-olah Allah
s.w.t tidak ikut campur dalam urusan mereka. Allah s.w.t tidak suka hamba-Nya
‘mempertuhankan’ sesuatu kekuatan sehingga mereka lupa kepada kekuasaan-
Nya. Allah s.w.t tidak suka jika hamba-Nya sampai kepada tahap
mempersekutukan diri-Nya dan kekuasaan-Nya dengan anasir alam dan
hukum sebab-akibat ciptaan-Nya. Dia yang meletakkan keberkesanan kepada
anasir alam berkuasa membuat anasir alam itu lemah semula. Dia yang
meletakkan kerapian pada hukum sebab-akibat berkuasa merombak hukum
tersebut. Dia mengutuskan rasul-rasul dan nabi-nabi membawa mukjizat yang
merombak hukum sebab-akibat bagi mengembalikan pandangan manusia
kepada-Nya, agar waham sebab musabab tidak menghijab ketuhanan-Nya.
Kelahiran Nabi Isa a.s, terbelahnya laut dipukul oleh tongkat Nabi Musa a.s,
kehilangan kuasa membakar yang ada pada api tatkala Nabi Ibrahim a.s masuk
ke dalamnya, keluarnya air yang jernih dari jari-jari Nabi Muhammad s.a.w dan
banyak lagi yang didatangkan oleh Allah s.w.t, merombak keberkesanan hukum
sebab-akibat bagi menyedarkan manusia tentang hakikat bahawa kekuasaan
Allah s.w.t yang menerajui perjalanan alam maya dan hukum sebab-akibat.
Alam dan hukum yang ada padanya seharusnya membuat manusia mengenal
Tuhan, bukan menutup pandangan kepada Tuhan. Sebahagian daripada
manusia diselamatkan Allah s.w.t daripada waham sebab musabab.
Sebagai manusia yang hidup dalam dunia mereka masih bergerak dalam arus
sebab musabab tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanan hukum kepada
sebab. Mereka sentiasa melihat kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan atau
mencabut keberkesanan pada sesuatu hukum sebab-akibat. Jika sesuatu sebab
berjaya mengeluarkan akibat menurut yang biasa terjadi, mereka melihatnya
sebagai kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan kekuatan kepada sebab tersebut
dan Allah s.w.t juga yang mengeluarkan akibatnya.
Orang yang melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t menerajui hukum sebab-
akibat tidak meletakkan keberkesanan kepada hukum tersebut.
Pergantungannya kepada Allah s.w.t, tidak kepada amal yang menjadi sebab.
Orang yang seperti ini dipanggil ahli tajrid.
Ahli tajrid, seperti juga ahli asbab, melakukan sesuatu menurut peraturan sebab-
akibat. Ahli tajrid juga makan dan minum Ahli tajrid memanaskan badan dan
memasak dengan menggunakan api juga. Ahli tajrid juga melakukan sesuatu
pekerjaan yang berhubung dengan rezekinya. Tidak ada perbezaan di antara
amal ahli tajrid dengan amal ahli asbab. Perbezaannya terletak di dalam diri iaitu
hati. Ahli asbab melihat kepada kekuatan hukum alam. Ahli tajrid melihat
kepada kekuasaan Allah s.w.t pada hukum alam itu. Walaupun ahli asbab
mengakui kekuasaan Allah s.w.t tetapi penghayatan dan kekuatannya pada hati
tidak sekuat ahli tajrid.
Dalam melakukan kebaikan ahli asbab perlu melakukan mujahadah. Mereka
perlu memaksa diri mereka berbuat baik dan perlu menjaga kebaikan itu agar
tidak menjadi rosak. Ahli asbab perlu memperingatkan dirinya supaya berbuat
ikhlas dan perlu melindungi keikhlasannya agar tidak dirosakkan oleh riak
(berbuat baik untuk diperlihatkan kepada orang lain agar dia dikatakan orang
baik), takbur (sombong dan membesar diri, merasakan diri sendiri lebih baik,
lebih tinggi, lebih kuat dan lebih cerdik daripada orang lain) dan sama’ah
(membawa perhatian orang lain kepada kebaikan yang telah dibuatnya dengan
cara bercerita mengenainya, agar orang memperakui bahawa dia adalah orang
baik). Jadi, ahli asbab perlu memelihara kebaikan sebelum melakukannya dan
juga selepas melakukannya. Suasana hati ahli tajrid berbeza daripada apa yang
dialami oleh ahli asbab. Jika ahli asbab memperingatkan dirinya supaya ikhlas,
ahli tajrid tidak melihat kepada ikhlas kerana mereka tidak bersandar kepada
amal kebaikan yang mereka lakukan. Apa juga kebaikan yang keluar daripada
mereka diserahkan kepada Allah s.w.t yang mengurniakan kebaikan tersebut.
Ahli tajrid tidak perlu menentukan perbuatannya ikhlas atau tidak ikhlas.
Melihat keihklasan pada perbuatan sama dengan melihat diri sendiri yang ikhlas. Apabila seseorang merasakan dirinya sudah ikhlas, padanya masih
tersembunyi keegoan diri yang membawa kepada riak, ujub (merasakan diri
sendiri sudah baik) dan sama’ah. Apabila tangan kanan berbuat ikhlas dalam
keadaan tangan kiri tidak menyedari perbuatan itu baharulah tangan kanan itu
benar-benar ikhlas. Orang yang ikhlas berbuat kebaikan dengan melupakan
kebaikan itu. Ikhlas sama seperti harta benda. Jika seorang miskin diberi harta
oleh jutawan, orang miskin itu malu mendabik dada kepada jutawan itu dengan
mengatakan yang dia sudah kaya. Orang tajrid yang diberi ikhlas oleh Allah
s.w.t mengembalikan kebaikan mereka kepada Allah s.w.t. Jika harta orang
miskin itu hak si jutawan tadi, ikhlas orang tajrid adalah hak Allah s.w.t. Jadi,
orang asbab bergembira kerana melakukan perbuatan dengan ikhlas, orang
tajrid pula melihat Allah s.w.t yang mentadbir sekalian urusan. Ahli asbab
dibawa kepada syukur, ahli tajrid berada dalam penyerahan.