Kelmarin adalah hari dimana saya berasa semua benda kecil menjadi perkara besar seolah-olah semuanya tidak kena. Saya sudah memaklumi secara biologi dan emosi tubuh badan saya, jadi saya tahu saya memerlukan sedikit 'pelepasan' atau 'Me Time' tanpa gangguan anak-anak atau kerja-kerja rumah yang tidak putus.
Setelah menyiapkan makanan tengahari, sekurang-kurangnya saya tinggalkan mereka dengan makanan di atas meja, saya mengajak suami untuk menemankan saya ke kedai buku. Ya, itulah yang bermain difikiran saya, sebuah buku baru untuk bacaan harian saya. Sudah menjadi rutin seharian saya memulakan pagi dengan membaca buku-buku bantu diri kerana sememangnya ia berkesan untuk jatidiri saya.
Kami mengambil peluang berdua-duan itu dengan berjalan di pusat membeli belah, makan makanan kegemaran, berbual, menjamu mata, dan membeli sedikit buah tangan untuk mereka yang ditinggalkan dirumah. Tidak lupa juga saya menghabiskan sejam berada di dalam kedai buku kerana membaca dan mencari bahan bacaan yang ingin saya beli. Kami berjalan berpegangan tangan sambil menikmati aiskrim tanpa perlu memandang ke kiri dan kanan seperti selalu kerana mengawasai anak-anak.
Di penghujung hari, apabila sampai dirumah semuanya menyambut kami dengan gembira, tiada perkara atau masalah besar berlaku, semuanya mengikut perancangan. Mereka gembira dengan buah tangan yang mereka dapat begitu juga dengan saya dan yang lebih besar lagi, saya dapat meluangkan masa lebih lama dan privacy dengan suami saya. Walaupun hanya melakukan aktiviti biasa namun ianya sangat istimewa. Tidak perlu berbelanja besar untuk mengumpul memori indah dan melepaskan lelah. Tiada rawatan spa yang mahal, tiada beg dan kasut baru, tidak ada restoran berbintang, hanya dengan kehadiran suami dan aiskrim sahaja cukup menghilangkan sedikit tekanan. Ini adalah kegembiraan dan kebahagiaan saya.